Saturday, December 23, 2006

Mengenai riba

Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

Masyarakat Islam Malaysia umumnya amat mengambil berat soal halal dan haram dalam isu pemakanan. Rata-rata umat Islam hari ini amat prihatin terhadap makanan yang dimakannya agar tidak terkandung elemen-elemen haram yang boleh menjejaskan keberkatan.

Persoalannya, apakah cukup sekadar memperakui barangan makanan bertanda halal tetapi wang yang digunakan untuk membelinya masih lagi bersumberkan perolehan yang haram? Sejauh manakah keprihatinan mengenai halal dan haram ini turut diterjemahkan dalam kegiatan muamalah yang lebih penting seperti urus niaga harian dan perolehan pendapatan?

Hakikat yang tidak dapat dinafikan, kesedaran umat mengenai halal dan haram dalam aspek perolehan pendapatan masih di takuk yang amat mendukacitakan. Umat lebih memperhitungkan soal barangan berlabel halal berbanding dengan sumber perolehan mahupun pendapatan.

Apa yang pasti, kesedaran mengenai sumber rezeki yang halal amat penting bagi menumbuhkan rasa keterikatan dengan hukum dan peraturan yang ditetapkan Allah. Rezeki yang diperoleh dengan cara halal tanpa merugikan orang lain pastinya akan membawa barakah atau keberkatan. Sedang yang haram termasuklah perolehan daripada sumber penyelewengan, penipuan, rasuah, pecah amanah dan riba hanya akan membawa padah dan kecelakaan.

Dalam konteks ini, penulis lebih cenderung memfokuskan isu riba dalam penulisan kali ini. Bagi penulis, tahap kefahaman umat mengenai riba masih terlalu rendah. Walaupun kerajaan telah berusaha menyediakan pelbagai insentif galakan dan membangunkan prasarana kewangan berpandukan syarak seperti institusi perbankan Islam, realitinya umat Malaysia masih ramai yang tidak mendukung sistem muamalah Islam yang diperkenalkan.

Laporan Bank Negara 2005 jelas membuktikan senario ini. Penguasaan pasaran sistem perbankan Islam yang bebas riba umpamanya hanya dalam lingkungan 11 ke 12 peratus berbanding jumlah umat Islam di Malaysia hari ini yang melebihi 65 peratus. Ini bermakna masih ramai umat Islam yang kekal mengamalkan urus niaga dengan perbankan konvensional yang berasaskan riba.

Bank Negara Malaysia sendiri secara sederhana meletakkan sasaran bagi tahun berakhir 2010 untuk sistem perbankan Islam meningkatkan penguasaan pasaran perbankan hingga ke tahap 20 peratus.

Ini juga memberi indikasi penting bagi 27 institusi-institusi perbankan dan kewangan Islam yang sedia ada untuk melakukan promosi secara besar-besaran bagi meyakinkan bukan sahaja umat Islam bahkan masyarakat bukan Islam untuk turut melabur dan menyimpan dalam institusi-institusi yang menawarkan produk-produk yang menepati syarak.

Dalam konteks ini, umat Islam sendiri terutamanya harus disuntik dan dipertingkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan berurus niaga secara halal tanpa melibatkan elemen riba. Umat harus difahamkan betapa besarnya dosa melibatkan diri dalam urus niaga yang mempunyai unsur-unsur riba tidak kira sama ada berbentuk pelaburan, simpanan mahupun pembiayaan.

Ini kerana Islam amat tegas memerangi unsur-unsur riba dalam sistem muamalah manusia. Pernyataan keras di dalam al-Quran bahawa Allah dan Rasul-Nya mengisytiharkan perang terhadap golongan yang mengamalkan riba jelas menggambarkan betapa beratnya dosa riba yang sememangnya boleh mendatangkan penganiayaan dan ketidakadilan dalam hubungan sesama manusia (al-Baqarah: 279).

Malah dalam sebuah hadis sahih riwayat al-Hakim dinyatakan bahawa: “Riba mempunyai 73 jenis. Yang paling ringan antaranya menyamai kesalahan berzina dengan ibu kandung sendiri”. Terdapat sekurang-kurangnya 12 ayat yang secara khusus membincangkan isu riba dalam al-Quran. Malah terlalu banyak hadis yang memperincikan urus niaga muamalah yang bebas daripada elemen-elemen riba dan penindasan. Pengharaman riba turut ditegaskan sekali lagi dalam khutbah terakhir Nabi dalam peristiwa Haji Wida' sebelum kewafatan baginda.

Berdasarkan dalil-dalil inilah, sesetengah ulama menyatakan bahawa tahap pengharaman riba adalah lebih serius dan berat berbanding bentuk pengharaman lain seperti minum arak, judi mahupun makanan haram seperti babi. Ini kerana, Allah tidaklah sampai menegaskan secara keras seperti pengisytiharan perang terhadap mereka yang minum arak, berjudi mahupun memakan barangan haram seperti babi berbanding pengharaman riba.

Justeru, sudah tiba masanya kerajaan melihat perkara ini secara lebih serius. Kurikulum pendidikan agama di sekolah-sekolah umpamanya harus mulai diperkemaskan bagi membincangkan aspek muamalah Islam dengan lebih luas dan bukan sekadar menitikberatkan aspek ibadah fardu ain semata-mata.

Ini amat menepati aspirasi syarak atau disebut Maqasid as-Syariah yang amat menitikberatkan bukan sahaja pemerkasaan dalam konteks ibadah semata-mata tetapi turut memastikan kehidupan muamalah sesama manusia sentiasa berteraskan prinsip keadilan, kesaksamaan sekali gus menghindari sebarang bentuk penindasan dan penganiayaan.

Hanya dengan meningkatkan kesedaran dan kefahaman umat secara tuntas mengenai prinsip-prinsip muamalah berpandukan syarak sahajalah mampu merealisasikan impian kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju sistem kewangan Islam pada masa depan.

-Utusan Msia-
24 Dis

0 Comments:

Post a Comment

<< Home